Jom Skodeng

Followers

Wednesday, November 3, 2010

Road To Final For Kelantan

RedsFC - Menulis..

Road To Final
Kelantan Red Warriors



RedsFC
RedsFCNews@gmail.com

Peringkat Kumpulan

Pusingan Pertama

Kelantan mln Negeri Sembilan.
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Perlawanan pertama dilalui Kelantan dengan kehadiran hampir 30 000 penyokong setia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu namun anak didik B. Sathianathan gagal dalam misi pertama mereka di gelanggang sendiri apabila tunduk tipis 0-1. Gol jaringan Mohd Rahman Zabul melalui sepakan penalti telah memusnahkan harapan skuad Kelantan untuk mengutip tiga mata pertama.

PKNS FC mln Kelantan
Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Selepas kecundang perlawanan pertama, Kelantan hadir ke ibu kota dengan tekad untuk menjulang tiga mata pertama. Misi mereka untuk mencatatkan kemenangan tidak diperoleh dengan mudah setelah kelab dari Selangor ini memaksa pemain Kelantan ke jalan buntu sehingga ke minit terakhir perlawanan. Hanya mampu menjaringkan satu gol hasil percubaan Akmal Rizal, Kelantan bernasib baik sebenarnya untuk pulang dengan mata penuh selepas Syed Adney muncul wira menepis sepakan penalti pada minit-minit akhir masa tambahan ketua pasukan PKNS, Mohd Fadhil Hashim.

Kelantan mln KL Plus
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Kejayaan mengutip tiga mata pertama di Kelana Jaya, pemain Kelantan membawa semangat tersebut untuk menewaskan KL Plus di laman sendiri. Tetapi kelalaian saat akhir pemain Kelantan termasuk mudah selesa dengan jaringan gol membawa padah apabila anak didik Jonas Krezka tampil cemerlang pada tiga minit terakhir untuk mengikat kedudukan. Mendahului 3-1 sebelum diikat 3-3 menimbulkan situasi sukar apabila peminat mulai berang dengan tahap persembahan yang dipamerkan menyebabkan timbul desas desus B. Sathianathan bakal meletakkan jawatan.

Pusingan Kedua

Negeri Sembilan mln Kelantan
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Perlawanan pertama selepas cuti rehat dua minggu memberi peluang buat barisan Kelantan mengumpul kembali semangat selepas dikritik hebat peminat fanatik. Persembahan hambar dari pusingan pertama dibawa ke Paroi dengan tujuan mencatatkan kemenangan. Malah, perlawanan ini juga menjadi titik tolak kepada penerimaan penyokong terhadap corak kejurulatihan B. Sathianathan. Namun, misi yang sepatutnya memberikan kejayaan hampir menyaksikan pemain Kijang terkulai lesu sebelum Akmal sekali lagi tampil membantu skuad untuk mencatatkan keputusan seri. Pemain Kelantan gagal mengambil ruang ketiadaan pemain pertahanan lawan yang dilayangkan kad merah selain ketinggalan 0-2 sebelum berjaya menghambat di pertengahan babak kedua untuk pulang dengan satu mata.

Kelantan mln PKNS FC
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Selepas menerima kritikan pedas dari penyokong sendiri, skuad Kelantan tampil gah apabila membelasah skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dengan jaringan 4-0. Corak permainan Kelantan bermula dari awal minit pertama sehingga akhir masa begitu gagah dan cemerlang untuk memaksa impian kelab berpengkalan di Selangor itu untuk mencatatkan tiga mata terpaksa ditelan pahit. Kecermerlangan Kelantan menewaskan PKNS mula membuka mata pengkritik dan semua peminat bahawa corak permainan sebenar seperti yang ditunjukkan dalam saingan liga super mula diperolehi kembali para pemain.

KL Plus mln Kelantan
Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Perlawanan terakhir Kelantan di peringkat kumpulan memerlukan Sang Kijang memungut tiga mata penuh bagi mencerahkan peluang mereka ke suku akhir. Bagaikan mimpi, pemain Kelantan memberikan persembahan kemas untuk mengesahkan tempat Kelantan ke suku akhir apabila garang menewaskan Highway Warriors 4-0. Lebih 15 000 penyokong Kelantan membanjiri kawasan stadium bersorak girang menyaksikan perwira mereka membenam lawan habis-habisan seterusnya menempah slot di saingan kalah mati.

Suku Akhir

Selangor mln Kelantan
Stadium Shah Alam.

Pertembungan klasik dua pasukan paling berjaya di musim 2010 dijangka hangat dengan gelagat pemain dan penonton kedua-dua pasukan. Dan sememangnya jangkaan itu menjadi kenyataan apabila corak permainan keras diatas padang selain insiden pergaduhan di luar padang mengisi perlawanan suku akhir diantara skuad Merah Kuning dan Merah Putih. Keputusan seri 0-0 yang dicatatkan menimbulkan perasaan kurang senang sehingga berlakunya banyak kekecohan yang membawa kepada kematian, kecederaan buat penyokong kedua-dua pasukan. Insiden yang berlaku memadamkan aksi hebat yang dipamerkan kedua-dua pasukan diatas padang.

Kelantan mln Selangor
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Perlawanan timbal balik selang tiga hari selepas itu menjadi perhatian umum setelah pihak media menghangatkan kejadian kekecohan di Shah Alam sebagai berita utama mereka manakala FAM pula menambah dengan mengenakan denda RM65 000 kepada persatuan bola sepak Kelantan. Namun, insiden tersebut tidak menganggu tumpuan para pemain Kelantan untuk membenam juara 32 kali Piala Malaysia tersebut dengan jaringan 3-0. Gol jaringan cantik Norfarhan Mohamad dan Akmal Rizal sebelum dilengkapkan dengan penyudah tajam Mohd Badri Radzi membawa Kelantan ke peringkat empat terbaik. Satu malam yang hebat, malam untuk berpesta serta malam kemuncak bola sepak Sang Kijang buat sesetengah penonton kerana bagi mereka kejayaan yang diraih keatas Gergasi Merah memadamkan dendam 2 tahun tanpa kemenangan keatas skuad bimbingan K. Devan.

Separuh Akhir

Kedah mln Kelantan
Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pertembungan yang sangat dinantikan penyokong Kelantan kerana keinginan mereka  membalas dendam dengan kekalahan dalam perlawanan liga dan Piala FA. Kedah merupakan sebuah pasukan yang liat untuk Kelantan tewaskan malah rekod 2010 berpihak kepada pasukan Kenari. Perlawanan pertama di Alor Setar menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk memecahkan tembok benteng masing-masing tetapi tekanan sebenarnya berpihak kepada tuan rumah kerana mereka memerlukan bekal untuk layak. Namun, anak buah Ahmad Yusof gagal langsung untuk mencari modal selesa selepas diikat Kelantan 0-0. Dalam perlawanan ini, penyokong kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan tinggi dengan menerima keputusan perlawanan tanpa ada insiden yang boleh membawa kepada pergaduhan.

Kelantan mln Kedah
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Pertembungan timbal balik menyaksikan pemain Kelantan buntu mencari satu gol seperti yang dimahukan. Sebaliknya Kedah pula menguasai babak perlawanan. Kelantan pula melepaskan semua peluang yang terhidang setelah pemain yang diturunkan gagal melaksanakan ruang yang diberikan kedalam jaring. Namun, pemain yang menerima kad merah pada pertemuan dengan Selangor di Shah Alam, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan status selaku penyerang paling berbisa di Malaysia apabila sepakan penjuru lencong dari sebelah kiri menewaskan sama sekali Helmi Eliza Elias untuk satu-satunya gol dalam perlawanan separuh akhir tersebut. Gol jaringan Sharul membawa Kelantan ke perlawanan akhir buat tahun kedua berturut-turut.

Perlawanan Akhir

Negeri Sembilan mln Kelantan
Stadium Bukit Jalil.

Perlawanan penentuan dua pasukan berstatus gergasi dalam dua tahun terakhir kebelakangan ini. Negeri Sembilan dengan rekod dua kejuaraan dalam lima bulan manakala Kelantan pula mencatatkan tiga perlawanan akhir dengan kedudukan naib johan. Perlawanan dimulakan dengan aksi laju kedua-dua pasukan untuk memburu gol awal dan hasilnya Sang Rusa mendapat sepakan penalti sebelum disempurnakan Sharuain Abu Samah untuk gol pertama perlawanan. Selepas jaringan tersebut, kedua-dua pasukan memiliki deretan peluang untuk menambah jaringan namun buntu. Sehinggalah separuh masa kedua, Hairudin Omar melompat tinggi menanduk masuk hantaran Norshahrul Idlan Talaha sebelum Badri Radzi dengan larian kencang menyudahkan hantaran Norfarhan Mohamad untuk gol kedua Kelantan. Dua gol dalam enam minit membunuh terus semangat pemain Negeri Sembilan menyebabkan beberapa serangan yang sepatutnya menghadiahkan gol penyamaan gagal diselesaikan kedalam jaring. Wisel panjang pengadil perlawanan selepas tambahan masa empat minit memisahkan kedua-dua pasukan untuk Kelantan mencatatkan kejuaraan pertama dalam sejarah 89 tahun manakala Negeri Sembilan hampa gagal mempertahankan kejuaraan yang dimiliki mereka tahun lalu.

1 comment:

Twitter Bird Gadget